Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’alaa yang telah menganugerahkan darjat dan kemuliaan di kalangan makhlukNya. Hamba Mu ini, dengan ingatan yang bening – dengan hati yang hening, melafazkan kesyukuran atas anugerah rahmat dari Mu jua, memungkinkan Majlis Pelancaran buku, Kumpulan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah dapat disempurnakan.
Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, demikian juga ke atas keluarga dan para Sahabat Baginda, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama.
Ya Rafi’udd Darajat
Daulat Tuanku Syah Alam
Menghadap Paduka Seri Ayahanda
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
Menghadap Paduka Bonda
Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Bainun
Didoakan semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa berada dalam pemeliharaan dan perlindungan ILAHI, bersemayam di takhta kerajaan dalam keadaan sihat walafiat, menyempurnakan tugas pemerintahan dengan penuh adil lagi bijaksana, ditingkatkan daulat – ditingkatkan darjat. Amin, Ya Rabul Alamin.
Ampun Tuanku
Sembah Anakanda mohon diampun
Anakanda menjunjung kasih setinggi-tingginya atas limpah perkenan Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda, berangkat bercemar duli di Majlis ini.
Dengan ketentuan ILAHI, Paduka Seri Ayahanda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke tiga puluh empat pada 3 Februari 1984. Pada 8 Mac 1984, Paduka Seri Ayahanda telah menzahirkan titah sulung atas nama Sultan Perak Darul Ridzuan. Sehingga 31 Oktober 2003, Paduka Seri Ayahanda telah menzahirkan empat ratus tiga puluh sembilan (439) titah, tiga ratus tujuh puluh (370) dalam Bahasa Malaysia dan enam puluh sembilan (69) dalam Bahasa Inggeris. Ini tidak termasuk titah yang Paduka Seri Ayahanda zahirkan antara April tahun 1989 sehingga April 1994 atas nama Yang Di Pertuan Agong.
Ketika menyampaikan titah sulung tersebut, Paduka Seri Ayahanda telah mengingatkan bahawa kegagalan sesuatu rancangan adalah disebabkan oleh kelemahan dalam pelaksanaan yang berkemungkinan disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dan pengalaman, kurangnya dedikasi, malah kadang kala disebabkan kurangnya kejujuran. Paduka Seri Ayahanda menegaskan bahawa tanpa kejujuran, terutama di kalangan mereka yang memiliki kuasa, maka kejayaan sukar dicapai. Kerana itulah, Paduka Seri Ayahanda memperingatkan betapa pentingnya setiap pihak yang diamanahkan dengan kuasa untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi, penuh disiplin, penuh kejujuran.
Dedikasi, disiplin dan kejujuran adalah prinsip pegangan utama Paduka Seri Ayahanda, di samping menekankan keutamaan kedaulatan undang-undang, kepentingan menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran, pentingnya mengamalkan nilai moral yang tinggi serta menjamin kerukunan hidup berlandaskan keluarga yang bahagia. Prinsip-prinsip hidup tersebutlah menjadi pegangan hidup Paduka Seri Ayahanda ketika diamanahkan dengan kuasa dan kedudukan sehingga Paduka Seri Ayahanda mencapai puncak kejayaan dalam perkhidmatan kehakiman, didaulatkan sebagai seorang Sultan yang berdarjat dan sebagai Yang Di Pertuan Agong yang disanjung tinggi. Kesejahteraan rakyat, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara, senantiasa mendapat perhatian Paduka Seri Ayahanda. Secara konsisten dan berterusan Paduka Seri Ayahanda memperingatkan prinsip-prinsip utama ini dalam setiap titah yang dizahirkan.
Kepekaan Paduka Seri Ayahanda terhadap kehidupan rakyat serta pemikiran Paduka Seri Ayahanda merupakan satu khazanah yang mencerminkan kehalusan budi serta memancarkan daya intelek seorang Sultan yang berilmu lagi berdaulat. Kerana itu, pada hemat Anakanda, amatlah memanfaatkan, jika pemikiran Paduka Seri Ayahanda itu dapat diteliti dan dihayati secara bersama oleh rakyat keseluruhannya. InsyaAllah, akan tercatat dalam sejarah bahawa dalam memenuhi amanah sebagai seorang Sultan, Paduka Seri Ayahanda telah mengukir kejayaan dan mencipta kecemerlangan, meletakkan satu mercu tanda untuk dijadikan contoh, akan sifat – akan perilaku seorang Sultan yang berdaulat lagi dikasihi rakyat.
Untuk itu, sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Paduka Seri Ayahanda kali ke tujuh puluh enam, Anakanda memilih untuk dijadikan satu persembahan kepada Paduka Seri Ayahanda, satu penerbitan kumpulan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah. Sejumlah enam puluh satu (61) titah dalam Bahasa Malaysia dan tiga puluh empat (34) titah dalam Bahasa Inggeris, dipilih untuk diterbitkan dalam koleksi ini, merangkumi aspek-aspek Institusi Di Raja, Kerajaan dan Pentadbiran, Pendidikan, Perundangan, Keagamaan dan Kemasyarakatan.
Dalam memenuhi hasrat dan dalam menjayakan usaha ini, Anakanda menghargai kerjasama dan nasihat yang telah Anakanda perolehi dari Yang Berbahagia Dato’ Baharuddin Zainal serta kakitangan Pustaka Cipta Sdn. Bhd. yang telah memberikan perkhidmatan dengan penuh kesungguhan menjayakan penerbitan ini; juga kepada Yang Berbahagia Dato’ Mohd. Annuar bin Zaini, selaku penyusun, yang secara tekun dan komited telah membantu Anakanda dari segi meneliti setiap titah Paduka Seri Ayahanda, memilih lalu menyusun koleksi ini.
Semoga penerbitan yang diusahakan ini akan membolehkan rakyat menghayati falsafah, prinsip, nilai, arah dan jalan fikiran Paduka Seri Ayahanda di samping diharapkan dapat pula meningkatkan kefahaman rakyat terhadap peranan Institusi Kesultanan dalam sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.
Sesungguhnya jasa bakti Paduka Seri Ayahanda terhadap anakanda terlalu agung. Prinsip hidup Paduka Seri Ayahanda yang menekankan dedikasi, disiplin dan kejujuran, banyak mempengaruhi pembinaan nilai dan jati diri anakanda dalam meniti perjalanan hidup. Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Paduka Seri Ayahanda kali ke tujuh puluh enam, anakanda pohon sudi apalah kiranya Paduka Seri Ayahanda menerima persembahan yang tidak sepertinya ini, sebagai tanda junjungan kasih seorang putera di atas segala yang telah Paduka Seri Ayahanda kurniakan kepada anakanda. Semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda dilanjutkan usia dalam keafiatan, hidup bahagia, rukun dan damai. Dirgahayu Tuanku.
Anakanda sekali lagi merafakkan sembah junjungan kasih yang setinggi-tingginya kepada Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda.
Ampun Tuanku.
Termaktub
Di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.