Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim Haji 1440/2019

Mengerjakan haji ialah Rukun Islam yang kelima.  Rukun Islam kelima, memiliki kelainan tersendiri.  Rukun Islam yang pertama, kalimah syahadah, boleh diucapkan pada bila-bila masa dan di mana jua; Rukun Islam yang kedua, mendirikan solat, ditetapkan waktu tertentu lima kali sehari semalam dan boleh dilakukan di mana jua;  Rukun Islam yang ketiga, berpuasa wajib, ditetapkan waktunya pada bulan Ramadan, boleh disempurnakan di mana jua; dan Rukun Islam yang keempat, menunaikan zakat, ditentukan tempoh perkiraan secara tahunan, dan boleh disempurnakan di mana juga.

2.      Untuk Rukun Islam yang kelima, ibadah haji, bukan hanya ditetapkan waktu yang khusus, tetapi turut ditetapkan tempat-tempat secara khusus untuk menyempurnakannya, ia itu, di Tanah Haram, di bumi Mekah, kawasan mengelilingi Kaabah, di antara Bukit Safa dan Marwah, berwuquf di Arafah, memungut batu di Muzdalifah, bermalam dan melontar di Mina.  

Firman ALLAH dalam ayat 96 dan 97 Surah Ali-Imran bermaksud:

“Sesungguhnya rumah (ibadah) pertama yang dibangunkan untuk manusia, ialah (Baitullah) yang di Bakkah (Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk kepada seluruh alam.[1]  Di sana terdapat tanda-tanda yang jelas, (antaranya) Makam Ibrahim.  Barang siapa memasukinya (Baitullah), amanlah dia.  Dan (antara) kewajipan manusia terhadap ALLAH adalah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah, iaitu orang-orang yang mampu untuk perjalanan ke sana.  Barang siapa mengingkari (kewajipan) haji, maka ketahuilah bahawa ALLAH Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) daripada seluruh alam.[2]

Ayat-ayat 26-30 Surah Al-Haj, bermaksud:

“Dan ingatlah, ketika Kami tempatkan Ibrahim di tempat Baitullah dengan mengatakan: Janganlah engkau menyekutukan Aku dengan apa pun dan sucikanlah rumah Ku bagi orang-orang yang tawaf, dan orang yang beribadah dan orang yang rukuk dan sujud.[3]  Dan serulah manusia untuk menunaikan haji, nescaya mereka akan datang kepada mu dengan berjalan kaki, atau menunggang setiap unta yang kurus, mereka datang daripada segenap penjuru yang jauh.[4]  Agar mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat untuk mereka dan agar mereka menyebut nama ALLAH pada beberapa hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Dia berikan kepada mereka berupa haiwan ternakan.  Maka makanlah sebahagian daripadanya dan sebahagian lagi berikanlah untuk dimakan oleh orang-orang yang sengsara fakir.[5]  Kemudian, hendaklah mereka menghilangkan kotoran yang ada di badan mereka, menyempurnakan nazar-nazar mereka dan melakukan tawaf sekeliling rumah tua (Baitullah).[6]  Demikianlah perintah ALLAH.  Dan barang siapa mengagungkan apa yang terhormat di sisi ALLAH, maka itulah lebih baik baginya di sisi Tuhannya…”[7]

3.      Ibadah haji melatih manusia untuk berpisah dengan kemewahan dan kesenangan duniawi, meninggalkan harta benda, pekerjaan dan perniagaan, kampung halaman dan ahli keluarga, bermusafir dengan bekalan keperluan fizikal yang amat asas, semata-mata bertujuan untuk menyahut seruan ILAHI menyempurnakan Rukun Islam kelima; ibadah haji adalah satu imbasan kecil memperingatkan hari kebangkitan, ketika  setiap insan dihimpunkan untuk diadili di Padang Mahsyar, berhadapan dengan Tuhan Rabul Jalil.

4.      Ibadah haji memberikan pendedahan yang menambahkan keyakinan ummah, bahawa ALLAH Subhanahu Wata’ala mencipta umat manusia pelbagai bangsa – pelbagai kaum, pelbagai rupa – pelbagai paras,  menguasai pelbagai bahasa, mengamalkan pelbagai budaya, berjaya disatukan dengan aqidah yang sama, mentauhidkan ALLAH Tuhan yang Esa, menerima Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam sebagai Penghulu, al-Quran sebagai kitab pegangan, Baitullah sebagai kiblat, dan umat Islam adalah bersaudara.   

5.      Amalkan sifat persaudaraan yang sejati, dengan memuliakan insan lain, memiliki sifat belas, ihsan dan kasih terhadap mereka yang uzur, lemah dan lanjut usia, dengan mengutamakan, memberi laluan dan membantu mereka untuk menyempurnakan ibadah lebih dahulu daripada kita, dan menghulurkan apa juga bantuan kepada mereka yang berada dalam kedaifan.

6.      Mekah, begitu juga Madinah ialah Tanah Suci. Pada setiap masa hindarkan perbuatan yang boleh mencemarkan dan mengotorkan bumi Mekah dan Madinah.  Beta bersyukur mengikuti berita, bahawa selepas musim haji 1439 Hijrah, pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan jemaah dari Malaysia telah meninggalkan tempat yang bersih selepas selesai urusan haji.  Jemaah dari Malaysia pada tahun 1439 telah meninggalkan imej yang memberikan identiti dan reputasi yang sangat positif terhadap rakyat Malaysia.  Imej dan identiti positif yang telah tercipta pada tahun lalu, jangan dicemarkan, malah wajib dipertingkatkan.  Setiap jemaah hendaklah mengambil tanggung jawab bukan sekadar menjaga kebersihan, malah membantu untuk membersihkan bilik air, tandas, tempat makan dan tempat penginapan setelah digunakan.  Budaya mengamalkan kebersihan hendaklah dijadikan sebahagian daripada komponen latihan, diberikan penegasan dan bimbingan secara serius semasa jemaah mengikuti kursus di sini. 

7.      Jemaah Malaysia hendaklah memiliki azam untuk menjadi duta yang mengharumkan nama negara Malaysia di dalam segala aspek semasa menunaikan ibadah haji, merangkumi aspek-aspek ibadah, mematuhi undang-undang dan peraturan, amanah, berdisiplin, menetapi waktu, sabar dan bertoleransi, sedia membantu, dan mengutamakan kebersihan.

8.      Para jemaah yang terpilih menunaikan ibadah haji pada tahun 1440 Hijrah, adalah tetamu yang menerima undangan ILAHI.  ALLAH Subhanahu Wata’ala telah memakbulkan doa para jemaah. Sehingga 18 Jun 2019, 3.3 juta (3,269,093) orang penabung Tabung Haji telah membuat pendaftaran dan menunggu giliran untuk mengerjakan ibadah haji. Daripada bilangan tersebut, satu ratus lima belas ribu (115,238) orang memohon dan membuat rayuan untuk menyempurnakan ibadah haji pada tahun ini.  Berpandukan kuota rasmi yang diluluskan oleh Kerajaan Arab Saudi, 30,200 tempat diberikan kepada Jemaah dari Malaysia.  Pada tahun ini 2,795 orang dari negeri Perak berjaya mendapat tempat untuk mengerjakan haji.  Bersyukurlah kerana saudara saudari telah terpilih.  Daripada Jabir bin Abdullah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda:

“Orang yang menunaikan haji dan orang yang menunaikan umrah adalah undangan ALLAH.  ALLAH menyeru mereka, lalu mereka menyahut seruan itu.  Mereka meminta daripada ALLAH lalu ALLAH memberikan kepada mereka.”[8]

9.      Lembaga Urusan Tabung Haji dikenali sebagai badan yang memiliki rekod menguruskan urusan haji secara profesional lagi komprehensif.  Keperluan jemaah dipenuhi sebaik mungkin, merangkumi keperluan-keperluan asas fizikal seperti penempatan, pengangkutan dan makanan,  keperluan-keperluan kebajikan, perubatan dan kesihatan, juga keperluan-keperluan ibadah dan keilmuan dengan menyediakan pemandu, mutawif dan guru.

10.    Beta merakamkan penghargaan kepada Lembaga Urusan Tabung Haji atas perkhidmatan cemerlang yang telah mereka buktikan untuk sekalian lamanya.  Walaupun dilaporkan, Lembaga Urusan Tabung Haji ketika ini sedang menghadapi cabaran besar berbentuk tadbir urus kewangan, namun cabaran tersebut tidak menjejaskan perkhidmatan menguruskan urusan haji, dengan terus mengekalkan segala kemudahan yang diperlukan untuk keselesaan para jemaah.  Hargailah perkhidmatan yang disediakan oleh Lembaga Urusan Tabung Haji dan berikanlah segala kerjasama kepada kakitangan mereka, bermula daripada sikap yang ditunjukkan semasa berkursus, semasa perjalanan udara dan darat, semasa berada di Mekah dan Madinah, sehingga perjalanan pulang selepas selesai menyempurnakan ibadah haji.

11.    Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda yang bermaksud:

“Siapa yang menunaikan haji, dan dalam masa itu ia tidak bercakap kotor dan tidak melakukan kejahatan; nescaya ia pulang seperti pada hari ibunya melahirkannya (suci daripada dosa)”.[9]

Semoga para jemaah dianugerahkan haji yang mabrur.


[1] Al-Quran; Surah Ali-Imran (3:96).

[2] Ibid (3:97)

[3] Al-Quran; Surah Al-Haj (22:26)

[4] Ibid; (22:27)

[5] Ibid: (22:28)

[6] Ibid: (22:29)

[7] Ibid: (22:30)

[8] Diriwayatkan oeh al-Bazzar.

[9] Diriwayatkan oleh  al-Bukhari dan Muslim

In the News:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/576998/jemaah-haji-jadi-duta-negara-sultan-perak

https://www.sinarharian.com.my/article/33883/BERITA/Nasional/Jemaah-haji-jadi-duta-harumkan-negara

https://www.utusan.com.my/berita/nasional/jaga-imej-jemaah-haji-malaysia-sultan-nazrin-1.922276/sultan-perak-sultan-nazrin-muizzuddin-shah-bersalaman-dengan-bakal-jemaah-haji-1.922278

%d bloggers like this: