Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!
ALLAHU AKBAR WALILLAH ILHAM.
Aidilfitri ialah hari kebesaran umat Islam, disambut dengan bertakbir dan bertahmid, memuliakan keagungan ILAHI; hari umat Islam merayakan kejayaan menyempurnakan ibadah berpuasa, salah satu rukun Islam yang lima. Aidilfitri disambut dalam suasana riang gembira, rumah dihias indah dan juadah istimewa disajikan; hari umat Islam mengamalkan sifat kemurahan hati menerima tetamu, ziarah menziarahi, bermaaf-maafan, mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama ummah – sesama insan.
2. Aidilfitri hendaklah dijadikan sambutan yang menyinarkan cahaya murni Islam, melalui sifat baik sangka, sifat bersaudara, dan sifat terbuka umat Islam meraikan perbezaan, bersedia membuka pintu rumah, menerima kunjungan rakan kenalan, serta jiran tetangga daripada agama-agama lain.
3. Sambutlah Aidilfitri mengikut lunas yang ditetapkan syarak, lunas yang memiliki nilai ibadah, agar amal makruf yang dilakukan sepanjang Ramadan, menjadi lengkap – menjadi sempurna; hindarkan diri daripada melakukan kemungkaran, hindarkan pembaziran, hindarkan perbuatan bermewah-mewah. Hargai suasana yang membolehkan warga daripada pelbagai agama, hidup dalam harmoni, turut bersama meraikan keriangan Aidilfitri, di tanah air yang aman lagi tenteram. Semaikan rasa syukur terhadap nikmat dan rezeki, berkongsilah limpahan nikmat dan rezeki kurniaan ILAHI, dengan memperbanyakkan sedekah, kepada golongan daif, dan golongan yang memerlukan bantuan.
4. Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, sama-sama kita hargai pengorbanan yang dilakukan, dan perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai pihak, membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang dan meriah. Ketika majoriti warga bercuti dan bergembira, terdapat kalangan rakyat Beta yang melaksanakan pelbagai tugas penting; para anggota Pasukan Keselamatan, Polis dan Angkatan Tentera, begitu juga mereka yang diperlukan mengendalikan perkhidmatan 24 jam sehari; merangkumi anggota Bomba, kakitangan penjara, imigresen dan kastam; kakitangan hospital, sektor pengangkutan dan perkhidmatan, begitu juga kakitangan media, radio dan televisyen. Kepada mereka dan anggota keluarga mereka, Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan penghargaan. Semoga pengorbanan mereka diterima oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala, sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika di alam barzakh dan diberatkan timbangan amal ketika di Padang Mahsyar.
5. Semoga rakyat Beta dirahmati oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala, menyambut Aidilfitri dalam suasana riang lagi meriah, dan dalam semangat bersyukur ke hadrat ILAHI. Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, menurut yang diriwayatkan oleh Tabrani, Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam telah bersabda yang bermaksud:
“Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir”
Perbanyakan bertakbir dan bertahmid tanda kesyukuran kepada ILAHI.
ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!
ALLAHU AKBAR WALILLAH ILHAM.