Perutusan Aidilfitri 1436

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu Akbar ; Allahu Akbar ; Allahu Akbar, walillah ilham.

Alhamdulillah, sama-sama kita lafazkan kalimah kesyukuran ke hadrat ILAHI yang telah melimpahkan rahmat membolehkan kita menyempurnakan ibadah di bulan Ramadhan dalam suasana negara yang aman, tenteram lagi sejahtera.

2. Puasa adalah salah satu dari Rukun Islam yang lima. Antara tujuan ibadah puasa adalah untuk menyemaikan keinsafan dalam diri insan bahawa wujudnya kumpulan manusia di dunia ini yang berada dalam keadaan susah untuk mendapatkan makanan; mereka ‘hidup kais pagi makan pagi – kais petang makan petang’.

3. Makanan pada masa ini semakin sukar didapati. Kos pengeluaran makanan semakin meningkat dan harga makanan di pasaran semakin tinggi. Bekalan makanan semakin kritikal dan semakin ramai penduduk dunia menghadapi situasi kekurangan bekalan makanan.

4. Ibadah puasa semoganya berjaya menyemaikan keinsafan mendalam di kalangan insan yang telah dilimpahkan kemewahan rezeki untuk menghargai makanan dan menghentikan pembaziran. Ibadah puasa semoga berjaya menyemaikan rasa simpati yang tinggi di kalangan insan yang memiliki kelebihan rezeki untuk menghulurkan bantuan terhadap umat manusia yang berada dalam kesusahan kemiskinan.

5. Aidilfitri hendaklah disambut dalam semangat yang memenuhi tuntutan agama; banyakkanlah bersedekah, hulurkan bantuan kepada fakir miskin, limpahkan kasih sayang kepada anak-anak yatim, tunaikan zakat dan zakat fitrah. Aidilfitri hendaklah disambut dalam semangat yang menyuburkan budaya bangsa; mengunjungi ahli keluarga, ziarah menziarahi, mengeratkan silaturahim, bermaaf-maafan.

6. Sambutlah Aidilfitri dengan menghidupkan suasana riang gembira dalam semangat kesederhanaan yang tidak melakukan pembaziran. Sambutan Aidilfitri hendaklah dijadikan jambatan untuk meningkatkan hubungan muhibah antara warga Malaysia dari pelbagai agama dan pelbagai kaum.

7. Ketika majoriti warga riang ria merayakan Aidilfitri, terdapat di kalangan warga Beta yang diperlukan bertugas. Di antara mereka adalah anggota Pasukan Keselamatan, terdiri daripada anggota Polis dan tentera, demikian juga mereka yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan kritikal yang perlu mengendalikan perkhidmatan 24 jam sehari; merangkumi pasukan bomba, kakitangan hospital, kakitangan penjara, kakitangan radio dan televisyen; petugas-petugas dalam sektor pengangkutan, kakitangan hotel dan restoran dan pelbagai lagi. Mereka sesungguhnya melakukan pengorbanan tinggi, melaksanakan tugas dan tanggung jawab ketika orang lain sedang riang berhari raya bersama keluarga. Kepada mereka, Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan penghargaan yang amat tinggi. Demikian juga penghargaan Beta berdua kepada anggota keluarga mereka yang turut melakukan pengorbanan menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran suami, isteri, ayah, ibu, abang, kakak, adik atau anak tersayang. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala merahmati anda semua.

8. Semoga rakyat yang Beta kasihi akan dirahmati Allah menyambut Aidilfitri dalam suasana bersyukur, riang dan gembira. Semoga rakyat Beta akan terus mengukuhkan nilai-nilai keluarga, mempererat silaturahim sesama jiran tetangga serta rakan kenalan. Semoga melalui pelbagai acara sambutan Aidilfitri, persefahaman di kalangan warga Malaysia dari pelbagai agama dan pelbagai kaum akan dapat ditingkatkan.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.

Wabillahi taufik walhidayah,

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

%d bloggers like this: