Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillah ilham.
Alhamdulillah, diangkatkan lafaz syukur ke hadrat ILAHI yang telah mengurniakan kita kesihatan dan ketabahan, berupaya menyempurnakan ibadah puasa sepanjang Ramadhan. Berpuasa, menguji kekuatan jasmani, kekuatan minda dan kekuatan rohani. Amalan puasa telah menyemai disiplin, membimbing insan mengawal nafsu. Manusia, sering kali tergelincir ke lembah hina disebabkan gagal mengawal nafsu, hingga bersifat tamak – bersifat haloba, melakukan pembaziran, mencetuskan persengketaan, merosakkan kehidupan.
2. Aidilfitri adalah anugerah ILAHI kepada para hamba Nya yang telah berjaya melalui dugaan mengawal nafsu. ALLAH Subhanahu Wata’ala melimpahkan suasana riang sebaik Syawal muncul di ufuk. Betapa besarnya anugerah, apabila Syawal dapat dirayakan dalam suasana aman lagi harmoni. Perbanyakan bertakbir dan bertahmid, tanda syukur atas nikmat yang telah dilimpahkan di bumi ini, berbanding suasana sengketa yang sedang dialami oleh umat Islam di Mesir dan di Syria, begitu juga penderitaan dan penindasan yang dihadapi oleh umat Islam di Palestin dan di Myanmar.
3. Balik kampung adalah amalan yang mencerminkan nilai keluarga subur tersemai. Warga Malaysia berduyun-duyun kembali berkumpul di kampung halaman; ziarah menziarahi berlaku di kalangan sanak saudara, rakan taulan dan jiran tetangga. Sifat terbuka umat Islam dilebarkan dengan kesediaan menerima tetamu yang dihidangkan dengan pelbagai juadah istimewa. Rumah Terbuka adalah satu budaya sangat unik, berlangsung bukan sahaja di peringkat rumah malah telah menjalar di peringkat organisasi dan institusi. Lebih unik, kemeriahan sambutannya turut disertai oleh warga dari pelbagai agama – pelbagai kaum. Aidilfitri berupaya memupuk semangat perpaduan, Aidilfitri adalah sebahagian dari warna-warna pelangi terlukis indah di ufuk negara.
4. Dalam riang menyambut Syawal, sama-sama kita hargai pengorbanan yang dilakukan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai pihak hingga membolehkan Aidilfitri disambut meriah. Ketika majoriti warga Malaysia cuti berhari raya, terdapat di kalangan rakyat Beta yang diperlukan melaksanakan pelbagai tugas penting. Di antara mereka adalah anggota Pasukan Keselamatan, Polis dan Angkatan Tentera, begitu juga mereka yang diperlukan mengendalikan perkhidmatan 24 jam sehari; merangkumi anggota bomba, kakitangan penjara, kakitangan hospital, kakitangan Imigresen dan Kastam, kakitangan sektor pengangkutan, petugas di Lebuh Raya, kakitangan media, radio dan televisyen, kakitangan hotel dan restoran serta pelbagai bidang perkhidmatan lagi. Mereka telah melakukan pengorbanan, bertugas menyempurnakan amanah ketika orang lain sedang berhari raya bersama keluarga. Kepada mereka, Beta dan Raja Puan Besar menzahirkan penghargaan yang amat tinggi. Demikian juga penghargaan Beta berdua kepada anggota keluarga mereka yang turut melakukan pengorbanan menyambut Hari Raya tanpa kehadiran suami, isteri, ayah, ibu, abang, kakak, adik atau anak tersayang. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala merahmati mereka dan keluarga mereka.
5. Semoga rakyat yang Beta kasihi akan dirahmati Allah menyambut Aidilfitri dalam suasana bersyukur, riang dan gembira. Semoga rakyat Beta akan terus mengukuhkan nilai-nilai keluarga, mempererat silaturahim sesama jiran tetangga serta rakan taulan. Semoga melalui sambutan Aidilfitri, persefahaman di kalangan warga Malaysia dari pelbagai agama dan pelbagai kaum dapat terus dipupuk.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.