Assalamualaikum
Salam Sejahtera.
Dengan segala kerendahan diri – dengan rasa kasih – rasa sayang, anakanda merafakkan sembah menghadap Paduka Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Paduka Bonda, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun.
Ampun Tuanku
Sembah anakanda pohon diampun.
Bersempena Ulang Tahun Hari Perkahwinan Paduka Ayahanda dan Paduka Bonda kali ke 50, dipohonkan perkenan Paduka Ayahanda dan Paduka Bonda untuk anakanda berdiri di sini, mewakili seluruh anggota keluarga dan kerabat, demikian juga rakan dan kenalan, menzahirkan rasa syukur kerana dengan kehendak ILAHI juga Paduka Ayahanda dan Paduka Bonda telah dilanjutkan usia dalam keafiatan, hidup penuh rukun membina satu keluarga bahagia, meneruskan talian zuriat keluarga dari anakanda lima bersaudara hinggalah kepada sekalian tujuh belas cucunda kesemuanya.
Dalam kerjaya di dunia perundangan, ramai insan berpeluang merasakan sentuhan keadilan dari Paduka Ayahanda. Dalam kerjaya di alam pendidikan, ramai insan berpeluang mendapat asuhan dari Paduka Bonda. Sebagai Raja Pemerintah yang bertakhta di Singgahsana Kerajaan, lebih ramai rakyat yang mendapat lindungan di bawah payung naungan Tuanku berdua. Namun, hanya anakanda lima bersaudara, merupakan insan istimewa, bukan sahaja berada di bawah lindungan naungan Tuanku berdua, tidak juga sekadar mendapat asuhan Tuanku berdua, tidak pula terbatas kepada sifat adil Tuanku berdua, malah anakanda lima bersaudara turut mewarisi darah keturunan Tuanku berdua; bahawa anakanda lima bersaudara adalah sebahagian dari darah daging Tuanku berdua, bahawa anakanda lima bersaudara adalah hasil dari perkongsian hidup Tuanku berdua. Sesungguhnya anakanda lima bersaudara laksana kuntum-kuntum yang kembang, mekar – segar dari putik cinta, di taman kasih Tuanku berdua.
Dalam keriangan menyambut Hari Ulang Tahun Sambutan Perkahwinan Paduka Ayahanda dan Paduka Bonda, anakanda lima bersaudara lebih bersyukur kerana berayahanda dan berbondakan Paduka Tuanku berdua. Dengan penuh bijaksana Paduka Tuanku berdua telah mendidik – telah mengasuh, membimbing dan memimpin anakanda lima bersaudara, menimbang dan mengimbang; menimbang secara berhikmah, batasan curahan kasih – limpahan sayang; mengimbang secara arif, disiplin dan tata susila hidup dalam institusi keluarga. Tuanku berdua, bukan sahaja telah memungkinkan anakanda berlima dilahirkan di maya ini, tetapi menyinarkan cahaya menerangi kegelapan, memandu dan membimbing anakanda semua merentasi pengembaraan hidup yang penuh cabaran. Tuanku berdua adalah sumber inspirasi mendorong setiap seorang putera-puteri berjaya mencapai aspirasi masing-masing.
Di Majlis ini, dengan perkenan Tuanku berdua, izinkan anakanda menzahirkan sembah “Ucap Tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun’. Dengan perkenan Tuanku juga, izinkan anakanda bersama adinda-adinda, ahli-ahli-keluarga, anggota kerabat, para rakan dan kenalan yang berada di Dewan ini, menzahirkan sembah ucapan kesejahteraan dan kebahagiaan yang berterusan lagi abadi kepada Tuanku Berdua.
“SEMOGA DULI-DULI YANG MAHA MULIA TUANKU SENANTIASA DALAM KESEJAHTERAAN DAN KEBAHAGIAAN YANG BERTERUSAN LAGI ABADI; DIRGAHAYU TUANKU; DAULAT TUANKU”
Ampun Tuanku
Sembah anakanda pohon diampun. Anakanda menjunjung kasih.