Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam serta kaum keluarga dan para sahabat Baginda. Selawat dan salam jua ditujukan kepada para tabi’in, para ulama dan para syuhada.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat menghadiri dan menzahirkan titah perasmian di Kongres Tahunan, Persatuan Bola Sepak Negeri Perak Darul Ridzuan kali ke 47.
3. Kongres ini diadakan selaras dengan kehendak yang termaktub dalam Perlembagaan Persatuan. Kongres ini merupakan sebaik-baik forum, membolehkan ahli-ahli Majlis serta wakil badan-badan gabungan melahirkan pandangan – menyuarakan cadangan, dalam semangat dan hasrat untuk meningkatkan tahap pencapaian serta menambah pesatkan lagi fasa kegiatan Persatuan Bola Sepak Negeri Perak.
4. Beta mengalu-alukan satu perbincangan terbuka lagi ikhlas untuk membolehkan teguran-teguran membina dapat didengari di samping idea-idea bernas dapat diperolehi. Sesebuah organisasi yang ingin mencapai tahap kejayaan lebih gemilang perlulah berani menerima teguran dan terbuka untuk melaksanakan idea dan pandangan baru. Sesebuah organisasi yang mengamalkan budaya kecemerlangan atau ‘ the culture of excellence’ perlu senantiasa bersedia menerima perubahan dan membawa pembaharuan. Sesebuah organisasi yang berazam mahu mencipta kejayaan lebih tinggi hendaklah mengasaskan perbandingan kejayaan atau ‘bench marking’ organisasi tersebut dengan organisasi-organisasi yang lebih berjaya.
5. Adalah amat membahayakan bagi mana-mana organisasi untuk terlalu leka dialunkan dengan irama kejayaan hingga sampai ke peringkat menjadi lali dan lalai dan akhirnya prestasi pencapaian menurun bila dilihat secara relatif dengan pencapaian organisasi-organisasi lain.
6. Perkembangan yang berlaku dalam pertandingan bola sepak Piala Dunia 2002 dan Piala Eropah 2004 perlu dijadikan pengajaran. Pasukan Perancis, yang memiliki kekayaan dan barisan pemain termahal di dunia dan merupakan nama besar dalam dunia bola sepak boleh tewas dengan pasukan Cameroon dalam Piala Dunia 2002. Pasukan-pasukan yang datang dari negara miskin Afrika dan pasukan-pasukan dari Asia seperti Jepun dan Korea, begitu juga Turki berupaya mencipta kecemerlangan dan mencipta nama yang kian dihormati. Demikian juga dalam Piala Eropah 2004, pasukan Latvia sudah dapat menandingi kekuatan pasukan Jerman, dan Greece berjaya sampai ke pertandingan akhir. Ini membuktikan bahawa kesungguhan, keyakinan, semangat juang dan semangat berpasukan jika disemai dengan berkesan dapat memberikan suntikan kekuatan yang membolehkan berlakunya segala kemungkinan.
7. Sepanjang dua tahun yang lalu, Persatuan Bola Sepak Perak telah berjaya mencatatkan beberapa kejayaan. Selama dua tahun berturut-turut pasukan Perak menjuarai juara liga. Pasukan Senior berjaya sampai ke peringkat separuh akhir dalam pertandingan Piala FA dan bagi Piala Malaysia berjaya sampai ke peringkat separuh akhir. Pasukan Perak juga mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan di Indonesia dan di Vietnam di samping menyertai liga anjuran Persekutuan Bola Sepak Asia. Masih banyak ruang untuk diperbaiki terutama dari segi membina daya tahan, meningkatkan konsistensi pasukan, menerokai strategi permainan yang lebih kreatif dan mempersembahkan gaya permainan yang menghiburkan.
8. Dalam hasrat mahu membawa balik Piala-Piala pertandingan ke negeri Perak, Persatuan tidak harus lari dari program membangunkan bakat dan minat bola sepak di semua peringkat. Untuk itu pembangunan pasukan pelapis untuk kumpulan usia di bawah 23 tahun dan di bawah usia 18 tahun hendaklah diberikan perhatian dan usaha yang sama. Malah perhatian yang seimbang perlu juga di berikan kepada pembangunan bola sepak di kalangan remaja, di sekolah dan di luar sekolah, di peringkat daerah, mukim dan kelab, untuk mengenal pasti tunas dan bakat muda yang perlu diberikan bimbingan lalu digilap hingga dapat menjadi bintang bola sepak yang cemerlang. Dalam hubungan ini, badan-badan gabungan di peringkat daerah dan kelab berperanan penting untuk dapat menganjurkan pertandingan-pertandingan di peringkat daerah, kelab dan sekolah secara sistematik, kompetitif dan berterusan.
9. Adalah menjadi wawasan Beta untuk program pembangunan bola sepak di negeri Perak dapat dilaksanakan melalui pendekatan komprehensif. Kemajuan pembangunan bola sepak mempunyai pelbagai komponen; merangkumi pengurusan di peringkat organisasi dan pertandingan, kewangan dan sumber pendapatan, kemudahan dan prasarana, sumber manusia dari segi pengurus, pemain, jurulatih, pengadil, pegawai teknikal dan pegawai pertandingan serta pendekatan saintifik dari segi pemakanan, perubatan, psikologi, kesihatan, dan pembinaan mental.
10. Dalam hasrat memenuhi wawasan tersebut satu tapak tanah seluas 11 ekar telah diperolehi di Meru Raya. Persatuan bercadang untuk membangunkan sebuah Kompleks Bola Sepak Darul Ridzuan yang juga akan berfungsi sebagai sebuah akademi. Pembangunan Kompleks ini perlulah dirancang secara teliti dengan cita-cita yang tinggi untuk menjadikannya sebagai satu akademi bertaraf dunia dari segi struktur dan kandungan. Nilai sesebuah akademi itu lebih bergantung kepada kekayaan kandungan dalaman dari keindahan fizikal bangunan. Adalah menjadi hasrat Beta supaya akademi ini bila dibangunkan dapat mencapai status sebagai satu pusat rujukan bola sepak di rantau ini terutama dari segi menyediakan latihan di bidang pengurusan, pembangunan teknikal, jurulatih dan pengadil di samping berfungsi sebagai pusat melatih dan mengasuh bakat barisan pemain. Untuk itu dalam perancangan membangunkan kompleks ini, aspek kandungan perlulah diberi tumpuan yang lebih tinggi dari aspek fizikal.
11. Beta menzahirkan rasa terima kasih kepada ahli-ahli Majlis dan badan gabungan yang telah memberikan sokongan kepada Beta memimpin Persatuan Bola Sepak Negeri Perak dan juga atas peranan dan tanggung jawab yang telah dilaksanakan dan amanah yang telah dipenuhi oleh setiap individu. Semoga barisan ahli-ahli Majlis yang bakal dipilih dalam kongres ini terdiri dari kalangan yang bersedia memberikan perkhidmatan secara komited, amanah dan bertanggung jawab.
12. Sebelum mengakhiri titah ini, adalah baik untuk dirakamkan dalam kongres ini ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Zabidi bin Haji Mat Samat atas pemergian Allahyarham, kembali ke Rahmatullah berikutan kemalangan jalan raya pada 23 November 2003 yang lalu. Allahyarham semasa hayatnya telah memberikan khidmat cemerlang kepada Persatuan Bola Sepak Perak. Semoga segala khidmat bakti Allahyarham diterima sebagai amal yang turut diberikan ganjaran di akhirat. Marilah dengan penuh ikhlas dibacakan Suratul Fatihah, semoga bacaan surah tersebut diterima ILAHI dan ganjaran darinya disampaikan kepada roh Allahyarham Zabidi bin Haji Mat Saman. Al-Fatihah.
13. Dengan ini, dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta merasmikan Kongres Tahunan Bola sepak Negeri Perak kali ke 47.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*****************