Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta para tabi’in, para ulama dan para syuhada. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat menghadiri Kongres Tahunan, Persatuan Bola Sepak Negeri Perak Darul Ridzuan kali ke 49.
3. Alhamdulillah, Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (PAFA) telah dapat melaksanakan aktiviti berpandukan tujuan penubuhannya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, juga berjaya memenuhi tanggung jawab terhadap badan-badan gabungan di samping memenuhi harapan para peminat dan penyokong setia pasukan ‘SELADANG’.
4. Apa juga kejayaan yang dicapai adalah kerana semangat ‘kekal bersatu’ dan ‘tetap bersama’ yang menjadi pegangan ahli-ahli Majlis, badan-badan gabungan, para pegawai, para pemain dan para penyokong; memungkinkan kerja rumit menjadi mudah, tugas berat menjadi ringan. Dalam mana-mana organisasi yang berpegang kepada prinsip demokrasi, ruang yang saksama perlu disediakan untuk mengizinkan perbezaan pendapat dan percanggahan pandangan dapat disuarakan secara ikhlas, berterus terang, terbuka lagi bertanggung jawab. Namun setelah mencapai konsensus, keputusan tersebut perlulah dihormati dan didukung oleh setiap pihak; semangat tanggung jawab secara kolektif perlulah dipatuhi. Jika prinsip-prinsip ini dapat dipatuhi, InsyaAllah organisasi dapat berfungsi secara berkesan lagi harmoni.
5. Beta berterima kasih kepada ahli-ahli Majlis, badan-badan gabungan, para pegawai, para pemain dan para penyokong yang telah memberikan kerjasama kepada Beta berlandaskan semangat ‘bersatu dan bersama’ selama tempoh lima tahun Beta menerima amanah untuk memenuhi tanggung jawab sebagai Presiden PAFA. Dalam tempoh tersebut, banyak pengalaman yang dapat dipelajari. Mungkin terdapat kelemahan dan kekurangan, namun keupayaan mengenal pasti kelemahan dan keberanian mengakui kekurangan, adalah faktor penting untuk membantu usaha membina kekuatan dan mencapai kesempurnaan di masa hadapan. Untuk itu, setiap insan harus senantiasa mengamalkan sifat rendah diri, bersedia untuk belajar – terbuka untuk diajar.
6. Pasukan Liga Super merupakan pasukan yang mendapat perhatian utama penonton dan peminat bola sepak. Pasukan ini kekal berjaya mempertahankan prestasinya sebagai sebuah pasukan yang dihormati meskipun dalam tempoh masa lima tahun ini, satu demi satu pemain utama yang dihasilkan di negeri Perak telah berhijrah dan memilih untuk bermain dengan pasukan lain kerana mendapat tawaran imbuhan yang lebih menarik. Meskipun kehilangan pemain-pemain utama, Pasukan Liga Perak kekal bertahan dalam posisi yang baik tahun demi tahun. Ini membuktikan bahawa permainan bola sepak adalah sukan berpasukan. Kejayaan tidak begitu bergantung pada individu malah akan tercapai melalui kerjasama, perpaduan tujuan, penyatuan matlamat, kecekalan azam dan kekentalan semangat; bahawa kejayaan juga tidak semata-mata ditentukan oleh wang ringgit dan imbuhan.
7. Peranan PAFA juga tidak harus terbatas sekadar menyediakan Pasukan Liga Super. PAFA adalah rakan kongsi kepada negeri dan kepada rakyat, merangka usaha, meningkatkan minat dan membangunkan tenaga muda dan tenaga berbakat dalam sukan bola sepak. PAFA adalah ejen untuk mengenal pasti bakat dari seluruh pelosok negeri untuk diasuh hingga dapat diketengahkan. PAFA adalah ejen pelaksana membantu program pembangunan sukan negeri. PAFA dapat mengambil peranan untuk menyediakan khidmat sokongan dari segi teknikal, pegawai, pengadil, jurulatih serta mengawal selia kemudahan prasarana untuk pembangunan bola sepak. Untuk itu adalah penting bagi PAFA senantiasa menjalinkan rangkaian kerjasama yang rapat lagi strategik dengan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
8. Dalam pada itu PAFA juga jangan sama sekali terlepas pandang kepada agenda utama kegiatan sukan di negara ini. Sukan adalah instrumen yang dapat membantu membina persahabatan dan mengukuh semangat setia kawan, menanam semangat positif – semangat bersaing secara sihat, menyemaikan semangat patriotisme kepada organisasi, kepada negeri dan kepada negara. Dalam sebuah negara yang warganya terdiri dari pelbagai kaum – pelbagai agama, pelbagai budaya – pelbagai bahasa, sukan sebagai jambatan menghubungkan perpaduan dan sebagai instrumen membina perpaduan, perlu diterokai sepenuhnya.
9. Semasa lima tahun memimpin PAFA, Beta memandang berat satu kecenderungan yang mungkin boleh mengancam falsafah, matlamat dan tujuan murni yang terkandung di sebalik sukan bola sepak. Persaingan dan perlumbaan menawarkan imbuhan untuk mendapatkan pemain mempunyai kesan secara langsung yang semakin membebankan tanggungan kewangan Persatuan-Persatuan yang terlibat. Persatuan yang berada dalam kedudukan kewangan yang mewah tentunya mempunyai kelebihan. Kejayaan bagaikan boleh dibeli di kalangan mereka yang kaya. Usaha untuk membina kejayaan bagaikan menjadi tanggungan badan-badan yang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
10. Pada pandangan Beta, kaedah yang dapat memperimbangkan kepentingan persatuan, kepentingan pemain, kepentingan penonton dan kepentingan negara perlu dirangka secara bijaksana. Formula yang memberi kemenangan kepada semua pihak amat diperlukan; formula yang dapat memberi keadilan dan kesaksamaan kepada Persatuan yang kaya dengan Persatuan yang tidak kaya, formula yang dapat mengekalkan tahap persaingan (level of competitiveness) yang sihat terus terjamin tanpa mana-mana pihak terasa tersisir dalam perlumbaan yang kekuatannya bergantung pada wang ringgit. Usaha untuk membangunkan dan mendedahkan seluas-luasnya anak tempatan hendaklah diberikan keutamaan supaya bakat tempatan dapat digarap, supaya era kegemilangan bola sepak negara dapat segera dikembalikan, supaya tanggungan kewangan persatuan tidak begitu membebankan, supaya penonton dan peminat tidak dikenakan harga tiket terlalu mahal untuk menyaksikan pertandingan.
11. Negara Malaysia memiliki dasar sukan yang dinamik; dan bola sepak adalah antara lapan sukan teras negara. Negara Malaysia memiliki cukup bakat bola sepak untuk dibimbing dan diketengahkan melalui program pembangunan yang memberi penekanan kepada bakat tempatan. Negara Malaysia mempunyai sumber kewangan yang dapat membantu perkembangan sukan baik dari sumber kerajaan mahupun dari sumber swasta. Apa yang diperlukan adalah pendekatan strategik lagi bijak, pendekatan yang dapat merangka satu program jangka panjang; program pembangunan yang inovatif lagi kreatif dengan pendekatan pengurusan yang dinamik lagi realistik.
12. Permainan bola sepak bukan semata-mata milik negara kaya dan tidak juga dikuasai oleh negara yang ramai penduduknya. Negara Togo yang layak menyertai Piala Dunia 2006 hanya mempunyai 4 juta penduduk dengan pendapatan per kapita 1,300 ringgit setahun. Trinidad dan Tobago mempunyai hanya 1.3 juta penduduk. Tunisia dan Serbia mempunyai kurang dari 10 juta penduduk dengan pendapatan per kapita di bawah 8,500 ringgit sementara Ghana, Ivory Coast dan Angola mempunyai kurang dari 20 juta penduduk dengan pendapatan per kapita di bawah 3,000 ringgit. Kesemua negara yang disebut itu akan beraksi dipusingan akhir Piala Dunia 2006. Negara-negara tersebut melainkan Trinidad, memiliki pendapatan per kapita yang lebih rendah dari Malaysia. Malaysia memiliki 26.1 juta penduduk dengan pendapatan per kapita hampir 19,000 ringgit setahun. Ini bermakna negara Malaysia sebenarnya memiliki sumber dan memiliki potensi untuk membangunkan pasukan bola sepak yang dihormati di peringkat antarabangsa; yang diperlukan adalah keyakinan dan wawasan yang selaras dengan realiti dan cabaran semasa. Untuk itu, kepimpinan PAFA hendaklah berusaha merintis pemikiran baru – menerokai perbatasan baru, senantiasa berani membawa pembaharuan – senantiasa bersedia menerima pandangan.
13. Beta telah mengambil ketetapan untuk berundur diri dari memimpin PAFA, Tempoh lima tahun adalah satu tempoh yang munasabah dan tibalah masanya untuk Beta memberikan laluan kepada orang lain. Dalam tempoh tersebut Beta berterima kasih kepada sokongan padu yang telah diberikan kepada Beta. Beta menghargai segala sokongan dari Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Kementerian Belia dan Sukan, Mamanda Menteri Besar Dato’ Seri Di Raja Tajol Rosli, Persatuan Bola Sepak Malaysia, para penaja dan penderma, ahli-ahli Majlis, badan-badan gabungan, para pegawai, para pemain dan para penyokong setia. Berikanlah sokongan dan kerjasama sedemikian kepada barisan pimpinan baru yang akan dipilih pada hari ini.
14. Beta memahami perasaan yang dilalui oleh Yang Berhormat Dato’ Jamal Nasir, Timbalan Presiden dan Pengurus Pasukan yang dikenakan hukuman, digantung dari memegang sebarang jawatan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia. Terimalah dugaan ini dengan tabah, ambillah iktibar dan pengajaran darinya untuk menjadi insan yang lebih matang. Berpeganglah kepada suratan ILAHI. Sesungguhnya terkandung banyak hikmah di sebalik sesuatu peristiwa betapa pahit sekalipun untuk dimamah.
15. Semoga barisan pimpinan baru PAFA akan mencipta kejayaan lebih gemilang. PAFA jangan sekali-kali dijadikan medan untuk mencari keuntungan diri dan memenuhi kepentingan peribadi. PAFA hendaklah bebas dari dijadikan gelanggang untuk bertelagah. Kepentingan umum, kepentingan kemajuan bola sepak hendaklah senantiasa diutamakan berpandukan semangat mahu berkhidmat. Berusahalah mencari kata sepakat, bekerjasama secara rapat, bantu membantu dan bersatu di waktu senang dan susah. Semoga Allah Subhanahu Wataala memberikan pertunjuk dan hidayah membolehkan Kongres pada hari ini berjalan dengan teratur dan lancar dan dapat menghasilkan keputusan untuk kebaikan semua.
16. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini merasmikan Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Perak Darul Ridzuan kali ke 49.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*******************